Assalamualaikum

Semoga info2 dalam ruangan ini memberi manfaat... Setiap info yg terdapat dalam blog ini dipetik dan diambil dri laman sesawang, majalah2 ilmu, dan koleksi buku yg saya baca... Blog ini adalah tempat penulis meluahkan perasaan (coretan Penulis), serta menjadi medan untuk penulis berkongsi info... Harap Maklum!!!!

Thursday, 3 March 2011

Masyarakat Penyayang, Insan Terbilang

DEFINISI.
Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang (caring society) dan budaya penyayang. Y.A.B. Dr Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggota-anggotanya yang mesra dan bertimbang rasa. Setiap orang saling faham-memahami dan hormat menghormati iaitu yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda.



I) MATLAMAT MASYARAKAT PENYAYANG.
1. Memelihara maruah negara.
Pengwujudan masyarakat penyayang ialah untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil kerana asas kestabilan sesebuah negara ialah terletak pada kestabilan masyarakatnya. Kestabilan masyarakat penting untuk kestabilan ekonomi dan politik sesebuah negara. Rakyat yang stabil dari segi jasmani, emosi, rohani dan mental serta peka pada tanggungjawab bersama akan melahirkan negara yang aman dan harmoni. Kekuatan ini akan dapat mengelakkan negara menjadi mangsa pencerobohan kuasa-kuasa asing. Ini penting kerana penjajahan dalam zaman yang serba canggih ini bukan dilakukan melalui kekuatan tentera tetapi melalui kecanggihan sistem teknologi maklumat yang mereka miliki.

2. Mengekalkan nilai-nilai ketimuran.
Sejak dulu lagi masyarakat Malaysia memang terkenal dengan amalan nilai-nilai murni masyarakat timur seperti tolong-menolong, peramah, hormat-menghormati, bertimbang rasa serta bekerjasama.Apabila kedatangan kuasa barat ke negara ini, mereka telah memperkenalkan nilai dari barat seperti sifat angkuh, materialistik, individualistik dan penindas sehinggakan nilai-nilai murni yang sedia ada telah terhakis dan dilupai.. Pengenalan konsep masyarakat penyayang diharapkan akan dapat memupuk kembali nilai-nilai ketimuran yang semakin ditinggalkan.

3. Membentuk sebuah negara maju.
Dr Mahathir Mohammad menyatakan matlamat utama yang patut kita tuju ialah Malaysia yang menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Kita patut menjadi negara maju mengikut cita rasa kita sendiri bukan mengikut acuan negara maju yang sedia ada. Oleh itu matlamat Wawasan 2020 ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segala segi iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara. Keadaan ini akan membolehkan kerajaan memupuk tenaga dan wang untuk program-program pembangunan bukan mengatasi masalah-masalah sosial. Tanpa jiwa penyayang kita akan mengulangi kesalahan negara maju yang mengalami keruntuhan moral. 



RASIONAL KONSEP MASYARAKAT PENYAYANG DIWUJUDKAN
II) MASALAH YANG WUJUD DALAM MASYARAKAT

1. Kurangnya amalan nilai-nilai kemasyarakatan.
Nilai-nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan yang diamalkan oleh orang-orang tua seperti bekerjasama, saling mengambil berat dan lain-lain lagi telah dilupakan oleh generasi zaman kini. Ramai jiran yang tidak mengenali sesama mereka jauh sekali untuk mengambil berat tentang aktiviti anak-anak jiran. Masyarakat masa kini mengamalkan sifat individualistik iaitu mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hal orang lain. Mereka juga sibuk mengejar kekayaan dan kesenangan selaras dengan nilai pegangan mereka iaitu materialistik. Kecanggihan sistem komunikasi seperti telefon telah merenggangkan lagi hubungan sesama mereka. Kekayaan yang dimiliki membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi tanpa memerlukan bantuan jiran-jiran.

2. Wujudnya pelbagai gejala sosial di kalangan remaja masa kini.
Pada masa kini terdapat pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat masa kini. Di kalangan remaja,gejala-gejala sosial seperti penagihan dadah, melepak,bohsia, ponteng sekolah ,jenayah remaja dan merosakkan harta benda awam semakin berleluasa. Masalah ini perlu di atasi kerana ia boleh menggagalkan cita-cita Wawasan 2020. Jika diamati, gejala-gejala ini tidak akan wujud sekiranya setiap orang memainkan peranan untuk mengawasi, menasihati dan membetulkan tingkahlaku anak-anak remaja yang berada di hadapan mereka.

3. Wujudnya masalah pengabaian golongan tua.
Kehidupan masyarakat hari ini lebih mementingkan kakayaan dan kebendaan daripada kasih sayang kepada keluarga. Gejala ini menyebabkan nasib warga tua tidak sebaik dahulu. Masyarakat kini bertanggapan bahawa orang tua tidak produktif, tidak berguna, membebankan dan banyak karenah. Malah ada yang sanggup membiarkan mereka hidup merempat dan mengemis. Keadaan ini wujud kesan daripada tiadanya nilai sayang menyayangi di antara satu sama lain di kalangan anak-anak, keluarga dan masyarakat. 

4. Wujudnya masalah penganiayaan kanak-kanak.
Satu lagi gejala sosial yang semakin berleluasa di dalam masyarakat masa kini ialah masalah penganiayaan dan penderaan kanak-kanak. Gejala ini wujud kerana sudah tiadanya perasaan kasih sayang di kalangan ibu bapa dan penjaga. Anak-anak diseksa, dipukul, didera secara fizikal mahupun mental dan tidak kurang pula yang melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

5. Wujudnya kegiatan anti sosial yang berleluasa.
Malaysia terdiri daripada masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan agama. Oleh itu tidak hairanlah wujudnya masalah prasangka antara mereka dalam kehidupan harian mereka. Malahan kita dapati terdapat setengah-setengah golongan anti sosial yang meniupkan api perkauman dengan niat jahat untuk memecah belahkan perpaduan yang sedia terjalin erat di kalangan masyarakat. Mereka ini kadang-kadang didalangi oleh pihak-pihak luar yang iri hati dengan kejayaan Malaysia. Oleh itu sifat toleransi, kerjasama, saling faham-memahami dan sayang kepada keamanan perlu dipupuk. Tanpa nilai-nilai ini akan mewujudkan suasana huru-hara dalam negara.

6. Pengabaian golongan cacat dan kurang bernasib baik.
Selain daripada masalah pengabaian golongan tua, satu lagi masalah ialah pengabaian dan diskriminasi terhadap golongan cacat dan kurang bernasib baik. Golongan ini sering dilabel sebagai mereka yang menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sesetengah daripada hak mereka telah dinafikan seperti mendapatkan pekerjaan, pendidikan dll.

7. Pemusnahan alam sekitar.
Sayang bukan sahaja tertumpu kepada manusia (makhluk bernyawa) semata-mata. Sifat sayang kepada alam sekitar adalah perlu. Apa yang jelas sekarang, ialah sikap ini tidak ada di kalangan masyarakat. Mereka sewenang-wenangnya memusnahkan alam sekeliling seperti hutan, pencemaran sungai, udara dll.Perbuatan ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang banyak untuk memulihkan keadaan dan mengatasi masalah yang dihadapi.

8. Pemusnahan harta benda awam.
Kemudahan-kemudahan awam seperti telefon awam, perhentian bas awam, tandas awam, harta benda sekolah dll lagi sering menjadi mangsa pemusnahan. Pemusnahan ini bukan saja menyukarkan apabila diperlukan pada waktu-waktu kecemasan, tetapi kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membaik pulih kemudahan berkenaan. Selain itu sikap pembaziran harta benda kerajaan juga merupakan satu kerugian kepada kerajaan dan masyarakat.



CARA-CARA MEWUJUDKAN MASYARAKAT PENYAYANG.
1. Peranan masyarakat.
Menggalakkan aktiviti ziarah-menziarahi jiran, saudara-mara, rumah-rumah kebajikan pada hari-hari biasa atau pada hari-hari perayaan. Aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara mereka Mereka juga perlu mengamalkan sikap pemurah, ikhlas dan sentiasa sanggup membantu dan menghulurkan tenaga untuk golongan ini.

2. Peranan syarikat swasta.
Pihak -pihak swasta pula perlu menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada golongan cacat supaya mereka memperolehi sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan. Sikap diskriminasi perlulah dikikis. Pihak syarikat boleh menghantar kerja-kerja atau barang-barang yang hendak disiapkan ke rumah-rumah kebajikan, pusat-pusat pemulihan, rumah orang-orang tua dll. supaya tidak mendatangkan masalah kepada golongan ini untuk ke tempat kerja.

3. Peranan kerajaan.
Tanggungjawab kerajaan bagi membantu golongan tua dan cacat ini ialah dengan memberi bantuan bulanan kewangan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bagi golongan yang tidak mempunyai saudara-mara dan tidak mempunyai tempat tinggal, kerajaan telah menyediakan rumah orang- orang tua, pusat pemulihan akhlak dan pusat orang-orang cacat. Selain itu kerajaan juga melaksanakan dasar-dasar tertentu untuk menerapkan budaya penyayang di kalangan masyarkat seperti "Penerapan Nilai-Nilai Islam, kempen-kempen melalui media massa seperti program "Keluarga Bahagia", "Kampungku", 'Cintai Sungai Kita" dll. Kerajaan juga telah mengadakan undang-undang untuk membendung perbuatan-perbuatan yang tidak baik seperti Akta Perlindungan Kanak-Kanak, Akta Kualiti Alam Sekeliling dll.

4. Peranan Badan-Badan Sukarela dan Agensi Sosial.
Badan-badan sukarela (NGO) juga mempunyai peranan penting dalam menyemaikan budaya penyayang ini. Badan-badan seperti Kelab Leo, Kelab Rotary dan Kelab Interact merupakan beberapa badan sukarela yang telah bergerak secara aktif dalam membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik. Selain daripada menghulurkan bantuan kewangan dan pakaian, mereka juga mengadakan lawatan untuk beramah mesra dengan golongan-golongan ini supaya mereka tidak berasa tersisih dari masyarakat.

5. Peranan Keluarga.
Asas yang paling kukuh untuk membina budaya penyayang ialah institusi keluarga. Anak-anak yang dibesarkan dan dididik dengan penuh kasih sayang di dalam keluarga yang bahagia akan membesar sebagai individu yang berlualiti. Anak-anak ini akan mewarisi sifat-sifat positif dan nilai-nilai murni dari ibu bapa mereka. Kempen konsep "Keluarga Bahagia", "Rumahku Syurgaku" diharapkan dapat melahirkan generasi yang bertanggungjawab.

6. Sistem Pendidikan.
Bagi merealisasikan konsep masyarakat penyayang, ia boleh dilakukan melalui pendidikan secara formal. Misalnya kementerian telah memasukkan ke dalam sukatan pelajaran bagi subjek Pengetahuan Moral, Agama Islam ,Alam dan Manusia dan Lukisan nilai-nilai murni yang perlu ada pada individu. Selain itu aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dapat menyemaikan nilai-nilai kemasyarakatan yang murni kepada pelajar. Misalnya semangat bekerjasama dan aktiviti rekreasi yang dijalankan dapat mendekatkan manusia dengan alam sekitar. Penubuhan Badan Kebajikan di sekolah-sekolah juga merupakan satu lagi pendekatan ke arah mewujudkan masyarakat penyayang yang mana fungsi badan ini ialah untuk membantu golongan yang susah dan bermasalah.

~Sumber: Buku Pengajian Am Tingkatan 6 dan Laman Blog Cikgu Mazlan (Artikel) dan Google Search (Gambar)~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...