Assalamualaikum

Semoga info2 dalam ruangan ini memberi manfaat... Setiap info yg terdapat dalam blog ini dipetik dan diambil dri laman sesawang, majalah2 ilmu, dan koleksi buku yg saya baca... Blog ini adalah tempat penulis meluahkan perasaan (coretan Penulis), serta menjadi medan untuk penulis berkongsi info... Harap Maklum!!!!

Saturday, 18 August 2012

Anjuran Nabi S.A.W. Tentang Sifat Adil


  1. Janganlah seseorang hakim yang sedang marah memutuskan perkara antara dua orang.
  2. Seseorang yang diserahi Allah memimpin rakyat kemudian dia tidak memelihara mereka dengan memberi nasihat, maka dia tidak akan mencium bau syurga.
  3. Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, ia tidak dobolehkan menganiayanya dan tidak boleh membiarkannya tanpa pertolongan dan barangsiapa memenuhi keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya.
  4. Penganiayaan adalah kegelapan pada hari kiamat.
  5. Rasulullah S.A.W. mendengar perselisihan di muka pintu kamarnya lalu baginda keluar dan berkata: “Sesungguhnya aku adalah manusia dan sesungguhnya datang kepadaku orang yang berselisih dan mungkin sahaja sebahagian daripada kamu ada yang lebih pandai berbicara daripada yang lain, lalu aku mengira dialah yang benar lalu aku menjatuhkan keputusan yang menguntungkannya. Maka barangsiapa yang aku berikan kepadanya keputusan menang tetapi sebenarnya dia dengan keputusan itu mengambil hak seorang muslim maka sesungguhnya yang diambilnya itu adalah sepotong daripada api neraka. Maka terserahlah apakah ia akan mengambil api itu atau meninggalkannya.”
  6. Sesungguhnya semua manusia itu sama rata seperti gigi sikat
  7. Lihatlah sesungguhnya kamu bukan lebih baik daripada yang berkulit merah atau yang berkulit hitam kecuali bila kamu melebihinya dengan takwa kepada Allah.
  8. Orang-orang itu sama nilai darahnya, orang yang paling rendah diantara mereka tetap memikul tanggungjawabnya dan mereka adalah bersatu dalam menghadapi orang lain.
  9. Siapa yang mempunyai dua isteri lalu ia cenderong kepada yang seorang tanpa yang seorang lagi, maka ia akan datang pada hari kiamat dan separuh badannya rendah sebelah.
  10. Ada tiga perkara yang menyelamatkan tiga perkara lagi yang membinasakan, yang menyelematkan adalah berlaku adil pada waktu marah dan waktu suka. Dan takut kepada Allah baik dalam waktu sendirian mahupun di hadapan khalayak ramai, berlaku sederhana pada waktu miskin dan pada waktu kaya.
  11. Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang yang sebelum kamu ialah apabila seorang dari golongan atasan mencuri mereka biarkan saja dan apabila golongan lemah mencuri dijatuhi hukuman.
  12. Barangsiapa syafaatnya menghalangi-halangi terlaksananya hukuman Allah bererti ia menentang Allah yang Maha Mulia Lagi Maha Agung.
  13. Barangsiapa membantu orang yang alim untuk membatalkan yang hak, maka lepaslah ia dari perlindungan Allah dan rasul-Nya.
  14. Batas yang dibuat itu lebih baik bagi penduduk bumi dengan hujan 40 hari.
  15. 15. Barangsiapa yang menganiaya seorang yang kafir yang dilindungi dengan perjanjian atau merendahkannya atau membebaninya lebih daripada kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaannya, maka akulah lawannya pada hari kiamat.
  16. Barangsiapa yang menyakiti orang kafir zimmi maka akulah lawannya dan siapa yang menjadi lawanku akan aku kalahkan dia pada hari kiamat.
  17. Barangsiapa dibebani hukum (menjawat jawatan hakim) di antara kaum Muslimin, maka hendaklah ia berlaku adil terhadap mereka, baik dalam pendangannya, isyaratnya, tempat duduknya mahupun majlisnya.
  18. Takutlah kamu kepada doa orang yang dianiaya meskipun orang kafir kerana sesungguhnya tidak ada tabir antara dia dan Tuhan.
  19. Sesungguhnya Allah menunda penyeksaan terhadap orang yang zalim sehingga apabila Dia menyeksanya maka dia tidak akan boleh luput daripada seksaannya. 

P/s : Artikel diatas adalah dirujuk sepenuhnya dari buku “Keluhuran & Kemuliaan Akhlak Nabi Muhammad SAW” yang ditulis oleh Dr. Ahmad Muhammad Al Hufy dan diterbitkan oleh Al-Falah Publications.



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Sunday, 13 May 2012

Nilai-nilai Bahasa - Kemunduran Dalam Cara Kita Berfikir?


          Bila datangnya Thomas Kuhn dengan magnus opusnya, The Structure of Scientific Revolutions, sepatutnya kefahaman kita tentang hubungan antara bahasa dengan budaya makin arif. Apatah lagi, sebelum itu sudah ada beberapa karya yang melakarkan perkara persis. Misalnya, menerusi Oswald Spengler dalam The Meaning of Numbers, dan Alvin White dalam Essay in Humanistic Mathematics.

          Semua nukilan ini sudah mendahului dalam memaparkan kelemahan ketara semesta Barat – tatkala mahu memandang bangunan ilmu secara kebelakaan. Kuhn, seorang ahli falsafah sains dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dalam karyanya tersebut jelas menunjukkan sains tabii yang dibangunkan Barat itu hakikatnya sarat nilai. Manakala White gencar memperkatakan kaitan antara budaya dan matematik. Sementara Spengler pula menyerlahkan ikatan antara budaya dan nombor dengan begitu baik sekali.

          Sebenarnya, seluruh hubungan ini mampu dipindahkan ke dalam wacana bahasa. Memang, sebahagian dari kita sering ralat kerana memikirkan bahasa itu bebas nilai. Hakikatnya, ini persepsi keliru. Bahasa adalah subjek yang sangat akrab dengan nilai-nilai ketamadunan sesuatu bahasa. “Bahasa Jiwa Bangsa” itu adalah peribahasa yang betul – dengan syarat difahami dalam konteks yang betul. Bahkan, terbukti banyak peribahasa kita bukan sahaja mengandungi unsur-unsur sains sosial yang menawan, tapi sekaligus juga sains tabiinya yang menarik.

          Malahan, sesetengah peribahasa kita tampaknya lebih unggul dari kosmologi sains tabii yang difahami Barat. Misal saja, “bagai pinang dibelah dua” itu adalah sebuah peribahasa yang melampaui konsep simetri yang terdapat dalam fizik Barat. Tapi sayangnya, kita sendiri tidak mencungkil khazanah ini untuk dimodelkan dalam kaedah saintifik.

          Ketirisan penghargaan pada tamadun sendiri terhimpit lagi dengan pendekatan pendidikan yang berorientasikan bahasa serta paradigm asing. Malang sungguh, betapa dasar herot ini terus dilaksanakan biarpun bercanggah dengan tabii hubungan antara manusia dan bahasa. Bila kita mengingkirkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, misalnya, itu bermakna kita turut menimbus terlalu banyak keistimewaan yang terdapat dalam jiwa bahasa itu sendiri. Bahkan, lebih pilu lagi, yang telah diruntuhkan itu adalah sistem pendidikan – sektor terkental hierarki pembinaan ilmu.

          Wajarnya kita harus berfikir jernih, dan menyisih dengan hemah tentang perbezaan makna antara kalimah Melayu dengan Inggeris tersebut. Kefahaman inilah yang sering diabaikan. Bila diperhalusi, terbukti ada sejarah akrab hubungan antara bahasa Melayu itu dengan Islam, sepertimana yang diuar-uarkan pada 1970-an oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam Dalam Sejarah Kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu, menurut al-Attas, adalah bahasa yang sarat nilai-nilai Islamnya.

          Memang, tesis Syed Muhammad Naquib kini sudah boleh disanggah dengan beberapa data baru yang menunjukkan kelemahannya. Namun, sekurang-kurangnya dalam konteks makna bahasa Melayu-Islam, tesis ini masih boleh dipertahankan lagi. Tesis inilah yang membebaskan jiwa abdi serta minda tertawan dalam kalangan bangsa Melayu, setelah dijajah berabad. Misalnya, yang paling popular ialah perbezaan makna “keadilan” yang cuba disesuaikan dengan “justice”. Ternyata, dalam takrifnya yang seni, masing-masing adalah mewakili sesuatu kosmologi makna yang berbeza!

          Kalau dalam sains tabii pula, kadang-kala kita sering terperangkap dengan bentuk terjemahan mudah bagi “natural” yang kemudiannya lekas disebandingkan dengan “semulajadi”. Walhal, disebalik kedua-dua kosa kata ini mengusung makna terdalamnya – yang kemudiaanya sampai kepada jarak antara ateistik dan teistik. Hal seperti inilah yang tidak disedari ramai ekoran kegagalan untuk memikirkan sesuatu yang lebih jauh dari permukaannya.

          Sama juga dalam sistem angka. Sebelum ini, sering saja ada yang berhujah bahawa bahasa Inggeris dilaksanakan atas alasan “mahu kembali ke ilmu asal”. Tapi, sebenarnya, ilmu asal sains dan matematik bukanlah bermula dari bahasa Inggeris. Kesamaran ini akan terungkap bila didedahkan perkataan science itu sendiri, yang jelas sekali merupakan peminjaman dari bahasa lain. Kata itu datangnya dari scientia, bahasa Latin. Begitu juga dengan mathematics yang bermuara dari mathema, pinjaman dari bahasa Greek. Bahkan, hampir seluruh angka sa – 0 sampai 9 – adalah bukan murni dari Inggeris sama sekali. Sebaliknya seluruh angka sa Melayu terbukti lebih murni, lebih mantap, atau lebih asal dari Inggeris itu sendiri.

          Itulah kelebihan membangun ilmu dalam acuan sendiri. Kita membangunnya dengan kosmologinya sekali. Bagaimanapun, bukan sahaja Melayu , atau Islam, yang tertanam keistimewaan-keistimewaan sebegini. Tetapi, pengalaman tabii ini terhukum pada semua bahasa. Masing-masing bahasa ada keistimewaan sendiri, yang antaranya barangkali tidak ada pada bahasa-bahasa lain. Bahasa Jerman misalnya, diketahui dalam kebanyakkan disiplin ilmu adalah jauh lebih lengkap mengatasi bahasa Inggeris. Kelebihan ini terbina natijah dari tradisi ilmunya yang lebih lama, atau lebih asal, sedangkan penguasaan bahasa Inggeris baru sahaja muncul pada abad ke-19.

          Di samping itu juga, bila kita bercakap soal bahasa, seringkali hujah-hujah yang dikemukakan ialah kuasa capaian keilmuan yang terdapat dalam bahasa Inggeris itu lebih meluas, dan lebih jitu. Secara keseluruhanya, sebenarnya hujah sebegini amatlah rapuh. Bahasa Inggeris menjadi kukuh bukan kerana khazanah pengetahuan induk yang terdapat didalamnya, tetapi kerana bahasa ini terhablur menerusi satu proses terjemahan yang agresif yang begitu lama – dengan budaya penerjemahan ini kini kian terpinggir dalam tradisi kita.

          Sehingga kini, bahasa Inggeris masih lagi bersusah payah untuk menerjemahkan banyak buku falsafah ke dalam bahasanya. Satu contoh yang kini menjadi klasik adalah buku Sein und Zeit adikarya Martin Heidegger, yang memerlukan lebih 30tahun untuk diterjemahkan kepada khalayak berbahasa Inggeris. Bukan kerana tiada yang ingin menerjemah, tapi kerana kesukaran untuk memadankan bahasa Inggeris agar tersuai dalam kosmologi yang Heidegger maksudkan.

          Malah, kalau dalam bidang sains dan teknologi lagilah ketara. Sampai kini sekalipun, bangsa Jerman diakui memang terkenal dalam disiplin sains tabii, sampaikan mekanik kuantum itu pun sendiri diistilahkan  mereka sebagai sains Jerman bagi mencabar teori kenisbiaan Einstein yang dianggap mereka sebagai sains Yahudi. Manakala Perancis pula kaya dalam disiplin sains sosial, terutamanya menerusi tradisi di Universite Paris-Sorbonne. Bahasa Inggeris – kalau dalam perspektif kerencaman Eropah – seperti disepakati bahawa bukanlah antara bahasa ilmu utama. Kalau tidak kerana kesungguhan mereka menterjemah, tidak mungkin bahasa Inggeris menjadi begitu sejagat dewasa ini.

          Tapi persoalannya, kenapa kita tidak meniru tatakaedah ilmu melalui penerjemahan ini?

          Barangkali jawapan terbaik kerana kedangkalan kita sendiri. Kita salah memikir logik. Mantik, atau nyaya dalam bahasa Sanskrit, yang kita guna selama ini sedayanya cuba dikaburkan dan dikelirukan. Padahal jika mahu dibangunkan bangsa, yang perlu dilakukan ialah turut memperkasakan bahasanya sendiri, selain memindahkan pengetahuan dari bahasa-bahasa lain ke dalam bahasanya. Itulah yang sepatutnya dilaksanakan melalui terjemahan, bukan sebaliknya!

          Selain daripada itu, dampak penggunaan bahasa asing dalam pendidikan turut menghakiskan daya kreativiti sesuatu bangsa tersebut. Ini jelas termuat dalam teori linguistik. Yang menghubungkan antara mutu pengaryaan dengan penggunaan bahasa intim. Hakikatnya, “Bahasa yang paling mampu untuk kita berkreativiti adalah bahasa yang kita bermimpi”. Sebab itu, ekoran pelaksanaan dasar pendidikan bukan dalam bahasa sendiri, pendidikan kita akan menjadi lebih kaku, dan yang paling kuat pun hanya bertakat malar sahaja dengan paradigm pinjaman. Sudah tentu, secara logiknya kita takkan mungkin dapat menandingi tingkat keilmuan Inggeris, kerana cara pengaryaan kita – yang meniru itu – tidaklah akan menyamai mereka.

          Harus dicatat juga, dalam tema bahasa ini, menelusuri pengalaman Eropah memang banyak iktibarnya. Menerusi mereka, kita memperoleh pengajaran bahawa bentuk pendidikan terbaik adalah membina acuan sendiri – dengan kebudayaan sendiri. Inilah yang diajar oleh negara-negara Eropah yang kecil seperti Republik Czech, Norway, Bosnia, Andorra, Luxembourg, dan lain-lain. Mereka sehingga kini terus melestarikan bahasa sendiri di kala hambatan globalisme bahasa Inggeris. Hasilnya, mereka tidak hilang identiti, tapi tidak juga tertinggal dalam arus perkembangan ilmu sejagat.

          Pengalaman Sweden mungkin yang terbaik. Dalam contoh ini, lebih dari dua pertiga rakyat Sweden memang terbukti mampu menguasai bahasa Inggeris, meskipun dalam waktu yang sama seluruh sistem pendidikan dan urusan domestic mereka adalah dilaksanakan dalam bahasanya sendiri. Jadi, persoalannya, kenapa kita tidak meneladani negara-negara Eropah ini, yang jelas lebih berjaya dan bergaya dari negara kita sendiri?

          Sebab itu, jangan hairan jika ada dakwaan bahasa Anglo-Saxon itu bukanlah sebuah bangsa yang bijak. Anehnya, kita yang terhegeh-hegeh memikirkan bahawa bahasa Inggeris ini bersinonim dengan sains dan matematik. Walhal, itu berbeza. Kita boleh semak saja pengalaman Amerika Syarikat (AS). Mereka akhirnya terpaksa meminjam minda-minda luar untuk merintis pengetahuan baru buat mereka. Kelih saja tawaran AS kepada saintis-saintis Jerman sewakti Perang Dunia Kedua, bagaimana mereka mendepa tangan pada Albert Einstein, Theodor Adorno, Kurt Godel, dan lain-lain, demi membangunkan ilmu di negara tersebut.

          Namun sayangnya, semua hujah-hujah ini gagal dihayati oleh para perumus dasar bahasa dalam sistem pendidikan kita. Hari ini, negara-negara Eropah berbahasa Inggeris sudah menilai kembali pendekatan dalam sistem pendidikan mereka. Mereka bermunasabah kerana menyedari adanya keherotan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran. Malah, AS turut mengambil langkah awal dengan mula menawarkan pendidikan dalam bahasa Sepanyol untuk kalangan Hispanik dan Latino – selepas menginsafi keperluan untuk mengajar dalam bahasa bangsa itu sendiri.

          Tapi, kita? Kita – dengan niat – untuk mengambil jalan pintas dalam rangka mengejar status negara maju menerusi dasar peng-inggeris-an, rupa-rupanya sedang memintas jalan kemunduran. Di saat khalayak makin tahu erti serta kepentingan sesuatu ilmu haruslah dibangunkan dalam acuan sendiri; bahasa sendiri – yang sarat dengan nilai, nyata identiti, dan penuh pengaryaan – kita sebaliknya terus bebal dengan fikiran singkat yang sampai kini pun masih tak kenal jati diri.


P/S: Artikel ini adalah dari buku Cabaran Politik Baru Malaysia (Buku Siasah) yang ditulis oleh Aqil Fithri (beliau banyak menulis tentang fizik dan falsafah sains di Siasah. Beliau juga pengasas dan pengendali laman sesawang ummahonline.com).

Tuesday, 28 February 2012

Konvensyen Kebangsaan Politik & Patriotisme - Hala Tuju Sebenar (K2P), UNIMAS

          Assalamualaikum w.b.t. Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama dapat menikmati kemudahan dan diberi kesempatan dan ruang untuk kita memperbaiki diri. Hari ini saya akan coretkan suka duka menjelang Konvensyen Kebangsaan Politik dan Patriotisme “Hala Tuju Sebenar” yang berlangsung selama 2 hari [25hb &26hb Februari 2012] bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman Unimas (DeTAR). Agenda konvensyen ini tertumpu pada hari kedua dimana terdapat 3 slot pembentangan berbeza yang dibentangkan 3 tokoh yang disegani dan dihormati masyarakat Malaysia. Beliau adalah pengamal undang-undang merangkap Professor di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Yg Berbhg. Datuk Abdul Halim Sidek; Sejarahwan Ulung Negara, Yg Berbhg. Professor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr Khoo Kay Kim; dan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Yg Amat Berbhg. Tun Dr Mahathir Bin Mohamed; manakala acara Penutupan Majlis oleh Ketua Menteri Sarawak yang juga Pro Canselor UNIMAS, Yg Amat Berbhg. Pehin Seri Haji Abdul  Taib Mahmud. Majlis Konvensyen ini dianggap berprestij kerana ianya merupakan majlis terbesar di UNIMAS dan mungkin IPT seMalaysia. Majlis ini turut dihadiri ramai VIP, wakil mahasiswa IPTA serta wartawan dari stesen TV dan akhbar tempatan. Oleh kerana ianya sebuah majlis yang besar, ramai Liaison Officer (L.O) telah dilantik bagi melicinkan urusan mengendalian majlis konvensyen berkenaan.











          Pada hari pertama konvensyen, agenda pada hari berkenaan adalah sebuah forum yang membincangkan mengenai penglibatan mahasiswa dalam politik yang menampilkan 3 tokoh mahasiswa iaitu; Saudara Muhammad Mus’ab Muzahar (YDP MPP Universiti Malaysia Sarawak); Saudara Ahmad Muzammil Bin Mohd Hairi (Presiden PMUKM Universiti Kebangsaan Malaysia); dan Saudara Mohd Syahid Bin Mohd Zaini (YDP MPM Universiti Malaya). Forum berkenaan bermula sekitar jam 2.30 petang dan tamat sekitar jam 5.30. Forum ini membangkit isu-isu semasa yang berkaitan dengan mahasiswa seperti isu AUKU dan dasar perjuangan aktivis mahasiswa. (Bagaimanapun, catatan ringkas mengenai perjalanan forum ini tidak dapat dinyatakan kerana kurang tumpuan dari saya sendiri).













          Pada keesokan harinya (26hb Februari 2010), persiapan yang rapi telah diselia dengan baik oleh unit-unit bertugas yang hanya menunggu masa untuk majlis ini berlangsung. DeTAR dibanjiri hadirin yang terdiri dari VIP, mahasiswa jemputan, dan mahasiswa UNIMAS seawal jam 8 pagi sebelum hadirin dijamu makan pagi berdasarkan tempat-tempat yang telah ditetapkan. Untuk tujuan pendaftaran, pihak pengurusan telah menyediakan hampir 10 kuanter pendaftaran bagi memudahkan mahasiswa dan hadirin jemputan supaya mereka tidak berpusu-pusu yang mencetuskan keadaan kelam kabut. Tepat jam 8.50 pagi, panel jemputan Yg Berbhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof. Datuk Abdul Halim Sidek telah tiba di tapak konvensyen. Mereka kemudian diiringi Timbalan Naib Canselor, Professor Mohd Fadzil Abd. Rahman; pengarah konvensyen yang juga Exco Protokol, Hubungan Awam dan Antarabangsa Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS, Saudara Muhamad Ikram Bin Jalil; dan L.O yang bertugas ke ruang makan VIP untuk bersarapan sebelum konvensyen bermula. Perarakan masuk panel kehormat ke dewan konvensyen adalah pada jam 9.15 minit sebelum majlis bermula dengan menyanyikan lagu kebangsaan (Negaraku), lagu UNIMAS, dan bacaan doa.




          Majlis kemudiannya dimulakan dengan ucapan kata-kata aluan oleh Prof. Mohd Fadzil Abd. Rahman dimana dalam ucapannya, beliau menggalakkan mahasiswa dalam menzahirkan pendapat dan pandangan profesional sesuai dengan status dan gelaran MAHASISWA di Institusi Pengajian Tinggi. Prof. Fadzil sempat menceritakan kesabaran dan kemuliaan Rasulullah s.a.w. dimana dalam satu peristiwa seorang Yahudi yang bertindak melampaui batas dengan membuang najis dan kotorannya di dalam masjid tempat umat Islam beribadah. Sahabat yang melihat kejadian itu marah dan meminta izin Baginda s.a.w. untuk memarahi dan memukul orang Yahudi berkenaan lalu ditenangkan oleh Rasulullah dan menyuruh sahabat menegur orang berkenaan dengan penuh berhikmah. Akhirnya, orang Yahudi berkenaan dilepaskan tanpa sebarang kecederaan mahupun makian. Melihat kemuliaan dan kesabaran Nabi Muhammad s.a.w. yang tinggi, orang Yahudi berkenaan lalu menceritakan peristiwa berkenaan kepada rakan-rakannya lalu mereka bertemu dengan Baginda untuk memeluk Islam. Mesej yang cuba disampaikan oleh Prof Fadzil adalah, mahasiswa perlu bertindak professional dengan meluahkan pendapat dan hujah dengan cermat dan berhikmat tanpa mengecam dan mempertikai sesuatu keputusan secara membuta-tuli. Prof juga menegaskan dalam ucapannya bahawa ilmu adalah teras dalam segala tujuan untuk dicapai dan ilmu juga begitu ditinggikan dalam agama Islam kerana dengan ilmu, insan yang bergelar manusia dapat berfikir secara rasional dan menjadi asas prinsip perjuangan jihad walaupun pahala jihadnya tidak sama seperti jihad di medan perang. Prof juga menasihatkan mahasiswa dalam mendahulukan ilmu sebelum mengorak langkah membicara soal dan kepentingan politik. Nasihat Prof. Fadzil kepada mahasiswa, agar mahasiswa bernimba ilmu dahulu bagi mendapatkan hujah yang bernas serta keperluan dalam meraikan pandangan orang lain.



          Acara diteruskan lagi dengan menampilkan Professor Datuk Abdul Halim Sidek dalam membentangkan satu pembentangan yang bertajuk Politik dan Undang-Undang. Diawal pembincangan, Prof Datuk menjelaskan maksud kosa kata politik, undang-undangan dan kepentingan undang-undang didalam sesebuah negara. Menurut beliau, undang-undang yang digubal dan bakal dilaksanakan terhadap masyarakat perlulah selaras dengan hak asasi manusia supaya undang-undang yang dibentuk tidak terlalu mengongkong dan terlalu mengawal pergerakkan rakyat lebih-lebih lagi di dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi. Undang-undang seperti yang diterangkan adalah menekankan prinsip komuniti yang bukannya menyekat hak asasi manusia supaya ahli komuniti (masyarakat) tidak melampaui batas, dalam erti kata lain, undang-undang adalah satu keperluan untuk mengawal dan selia sebuah masyarakat dengan baik dan teratur  dan bukannya menyekat hak kebebasan masyarakat seperti pendapat beberapa aktivis hak asasi manusia. Hasil pembentangan tersebut, Prof. Datuk turut membincangkan kepentingan ilmu dalam kepimpinan [mencakupi pembahagian kerajaan kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri serta pembahagian tugas seperti terdapat dalam Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama] supaya kepimpinan yang ditonjolkan oleh pemimpin dapat memahami rakyat yang bukannya mentadbir secara semborono (membuta tuli) serta rakyat dapat memahami setiap keputusan yang diambil oleh pihak kerajaan. Prof Datuk juga memperkatakan akan kepentingan semangat patriotisme yang perlu dizahirkan oleh mahasiswa supaya isu yang dibangkitkan tidak cenderung kepada ideologi kepada sesebuah parti MELAINKAN untuk kepentingan negara. Dalam pembentangan ini juga, Prof Datuk mengambil kesempatan dengan memperbetulkan fakta yang telah dibincang dan dikupas oleh 3 tokoh mahasiswa sehari sebelumnya mengenai isu UKM4 [dalam isu ino, 4 orang mahasiswa telah ditahan kerana didakwa terbabit dalam kempen untuk sesebuah parti menjelang pilihanraya kecil yang kemudiannya dibebaskan kerana tiada asas untuk mendakwa mahasiswa berkenaan terhadap pertuduhan itu] serta isu AUKU yang sering dimainkan oleh aktivis mahasiswa. Perbentangan tamat pada jam 10.55 pagi sebelum peserta konvensyen dilepaskan keluar untuk berehat sebelum meneruskan sesi pembentangan ke-2 oleh Yg Berbhg. Professor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr Khoo Kay Kim.




          Peserta mula berkumpul dan membanjiri DeTAR sebelum Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tiba ke dalam dewan sekitar jam 11.40 pagi yang diringi oleh Prof Fadzil dan Timb. Pengarah Program. Slot pembentangan yang bertajuk Sejarah Politik Malaysia terus dimulakan sejurus selepas itu. Dalam pembentangan kali ini, Sejarahwan Ulung Negara itu menekankan mahasiswa dalam memahami sejarah Malaysia sebelum melangkah dengan lebih jauh berbicara mengenai hal politik. Menurut beliau, masih ramai mahasiswa mahupun rakyat Malaysia sendiri yang kurang memahami dan mengenali sejarah Malaysia sehingga ada diantara mereka yang memberi hujah dan pendapat tanpa merujuk kepada sejarah sesuatu isu terlebih dahulu. Ini (menurut Prof. Emeritus) membuatkan hujah dan pandangan mereka kelihatan seperti tidak relevan. Beliau juga mengajak mahasiswa dan peserta memahami sepenuhnya maksud dan konsep negara bangsa. Menurut Prof Emeritus Khoo Kay Kim, maksud ‘bangsa’ yang dirujuk pada konsep negara bangsa berbeza dengan maksud bangsa yang asal yang merujuk kepada sesuatu kaum dan etnik. Bangsa dalam konsep negara bangsa menurut beliau adalah lebih kepada nasionaliti atau kebangsaan dimana semangat kekitaan yang merujuk kepada perbilangan bangsa di Malaysia yang cuba ditonjolkan oleh para pemimpin negara. Menurut beliau lagi, sejarah adalah asas kepada semua teras akademik kerana semuanya bermula dari sejarah yang terdahulu. Secara ringkasnya, isu yang dibincang dan diketengahkan oleh beliau adalah isu pahlawan Melayu, Hang Tuah yang masih belum dapat dibuktikan akan kewujudannya; Kedaulatan Raja-raja Melayu yang bermula dari Iskandar Zulkarnain (atau dikenali dengan nama Alexander The Great) kecuali kesultanan Johor yang mendapat daulat dari Queen Victoria apabila High Majesty Queen Britain memberi pengiktirafan dengan menukarkan nama Maharaja Abu Bakar kepada Sultan Abu Bakar, ini menurut beliau menjadi penyebab mengapa rakyat Johor tidak mengangkat sembah sebaliknya hanya menunjuk hormat kepada Sultan Johor dari zaman Kesultanan Sultan Abu Bakar sehingga sekarang; dan isu yang terakhir adalah isu negara Malaysia yang sebenarnya tidak dijajah kerana keutuhan sistem beraja yang masih utuh sehingga sekarang berbanding sistem beraja di negara yg dijajah runtuh atau musnah sebaik sahaja negara beraja terbabit dijajah, dalam isu ini, beliau menamakan konsep ‘penjajahan’ selama ratusan tahun itu sebagai DINAUNGI. Professor Emeritus Khoo Kay Kim menyelesaikan pembentangannya pada jam 12.45 tengahhari sebelum perarakkan keluar tetamu kehormat dan peserta untuk memberi laluan makan tengahhari dan solat fardu Zohor.













          Sekitar jam 2.30 petang, perarakkan masuk Yg Amat Berbhg. Tun Dr Mahathir Bin Mohamed dan Isteri, Yg Amat Berbhg. Tun Dr Siti Hasmah; Yg Amat Berhormat Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud dan Isteri; Menteri dan Menteri Muda Sarawak yang diiringi Naib Canselor UNIMAS, Professor Datuk Dr Khairuddin Abd Hamid dan Isteri; Pengarah Konvensyen, Saudara Muhammad Ikram Bin Jalil; serta ahli Majlis Pelaksana Konvensyen K2P. Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu UNIMAS serta bacaan doa sebelum Tun Dr Mahathir dijemput ke pentas untuk memulakan slot pembentangan yang bertajuk Politik dan Patriotisme. Dalam pembentangannya, Tun Dr M menekankan konsep sebuah negara demokrasi. Beliau menyeru rakyat supaya memilih kerajaan yang terbaik untuk mereka menumpahkan taat setia dan berkerjasama terhadap kerajaan yang dipilih menerusi pilihanraya umum itu. Menurut buah fikiran Tun Dr M selaku Mantan Perdana Menteri, beliau berpendapat cara terbaik untuk memupuk semangat patriotisme adalah dengan mengasingkan kesetiaan kepada negara dengan kesetiaan kepada parti politik. Saya bersetuju dengan pendapat Tun Dr M kerana perpecahan politik Melayu pada hari ini disebabkan rakyat fanatik yang terlalu setia terhadap parti politik dan ideologinya sehingga mereka terlupa terhadap tanggungjawab mereka untuk menzahirkan rasa kekitaan demi negara tercinta. Dalam perbentangan Tun Dr M, beliau juga menyeru rakyat supaya tidak terpalit dan terlena dengan pergerakkan ‘underground’ kuasa asing dan ideologinya yang mempunyai agenda tersendiri terutama kepada negara-negara Islam melalui konsep ‘Regime Change’. Tambah beliau lagi, kerjasama dengan kuasa asing akan menyebabkan badan pentadbiran tidak akan menjadi sebuah kerajaan yang berdaulat melainkan diperalat kuasa asing dalam memastikan pemimpin tunduk kepada mereka. Tun Dr M juga turut menceritakan permulaan dan rentetan revolusi di Mesir serta implikasinya kepada rakyat. Kini semuanya menjadi kabur dalam mengenalpasti dan mengetahui pihak yang mana betul dan salah, siapa patriot atau tidak kerana semua pihak menyampaikan mesej dengan penuh retorik dan mempunyai agenda tersendiri. Tun Dr M turut berpendapat bahawa menukar kerajaan bukan satu kesalahan tetapi rakyat perlu bijak menilai sama ada kerajaan baru yang dipilihnya mampu memberi anjakan paradigma kepada kesejahteraan rakyat serta tidak terikat dan diperalat kuasa asing. Beliau melihat propaganda Barat terhadap hak asasi [melihat hak asasi secara keterlaluan] adalah alat yang digunakan untuk memperalatkan rakyat supaya cenderung kepada revolusi. Tun Dr M sekali lagi menegaskan bahawa demokrasi bukan satu konsep yang mudah kerana ianya memerlukan rakyat yang mampu berfikiran jauh dan berkendiri dalam bijak menilai kebaikan dan keburukan sesuatu kerajaan berdasarkan bukti dan fakta yang diterima dan bukannya hanya menjadikan sesuatu dari luar [seperti revolusi] sebagai ikutan masyarakat disebuah negara Asia. Dapat saya simpulkan disini bahawa Tun Dr M mahukan mahasiswa yang proaktif, berilmu dan bertanggungjawab terhadap pendapat dan hujah yang diberi supaya mahasiswa tidak diperalatkan oleh sesuatu pihak.

          Untuk pengetahuan, setiap slot pembentangan mempunyai masa Q&A (soal jawab) antara panel dan peserta. Mahasiswa masing-masing memberi buah fikiran yang bernas dalam menanyakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan walaupun ada sedikit suasana lucu apabila ada pengaju soalan yang melontarkan pandangan  dengan jangka masa yang agak lama sehingga 4 kali diberi amaran untuk berhenti. Seronok melihat rakan mahasiswa berdikari dan mula berfikir dan menghayati akan apa yang ada disekeliling mereka.




          Majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah Program, Saudara Ikram Bin Jalil yang kemudiannya ucapan Naib Canselor UNIMAS, Professor Datuk Dr Khairuddin Abd Hamid sebelum acara penutupan yang disempurnakan oleh Yg Amat Berhormat Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud. Majlis diteruskan dengan paparan montaj Sejarah UNMAS bersama Tun Dr M (ketika merasmikan UNIMAS) dan montaj dari pihak pengurusan Konvensyen Kebangsaan Politik dan Patriotisme sebelum perarakan keluar VVIP jemputan ke ruang makan.















p/s: Gambar-gambar yang disertakan di atas adalah ihsan dari rakan mahasiswa, Saudara Yusof Bin Abd. Aziz.. Credit to you.. =)

p/s: ini adalah artikel pernulisan sepintas lalu.. maaf jika ada kekurangan dalam artikel ini.. =)


Mencari Persamaan Di Dalam Perbezaan Ideologi
Mengapa Perlu Mengejar Pengalaman, Jika Masih Inginkan Diri Yang Semalam
Jadikan Al-Quran dan As-Sunnah Sebagai Panduan Hidup Anda

Coretan Dari:
(Muhammad Nazri Bin Johari)
Admin Blog ‘muhdnazri91.blogspot.com’.



          


_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...